Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Bapa meraung ratapi kematian empat ahli keluarga maut nahas

 

SUASANA pilu menyelubungi lokasi kemalangan apabila seorang lelaki meraung dan menangis selepas melihat dua anaknya terbaring di jalan raya selepas terlibat dalam kemalangan di Simpang Tiga Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah, Melaka pada Ahad.

Difahamkan, kemalangan tersebut melibatkan dua kenderaan dan menurut sumber awam melalui aplikasi Telegram Info Semasa Official, mangsa bersama ahli keluarganya yang lain dalam perjalanan ke Langkawi untuk bercuti bagi meraikan hari jadi ayah mangsa.

Melalui video tular yang dikongsikan orang awam tersebut, kelihatan ayah kepada dua kanak-kanak berkenaan meraung dan meminta maaf pada anaknya.

“Nak, ayah minta maaf nak. Allahuakbar nak, ayah minta maaf. Adik, ayah minta maaf,” katanya berkali-kali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, salah seorang anak mangsa berusia lima tahun meninggal dunia akibat kecederaan di kepala manakala tiga lagi mangsa yang maut adalah isteri, ibu dan bapa kepada lelaki terbabit.

“Anak mangsa yang maut itu meninggal dunia di Hospital Alor Gajah, Melaka. Seorang lagi anak mangsa kini dilaporkan di zon merah hospital sama akibat kecederaan di kepala.

“Mengulas mengenai kemalangan itu, Arshad berkata kejadian kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan sebuah kereta jenis Toyota Land Cruiser pada pukul 7.45 pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Arshad, siasatan awal mendapati kes kemalangan berpunca daripada Toyota Land Cruiser keluar simpang untuk membelok ke kanan, dan datang kenderaan dipandu mangsa jenis Toyota Estima dari arah Selandar ke Alor Gajah.

“Ketika kenderaan mangsa cuba mengelak Toyota Land Cruiser itu, mangsa cuba membrek sejauh lima meter tetapi gagal dan melanggar kenderaan terbabit di bahagian kiri hadapan.

“Daripada perlanggaran tersebut ayah mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Semua mangsa penumpang di bawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan.

“Pemandu Toyota Land Cruiser pula ditahan polis kira-kira pukul 11 pagi semasa memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Posting Komentar untuk "Bapa meraung ratapi kematian empat ahli keluarga maut nahas"