Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Adik luah rasa sebak, tak sampai setahun kakak pergi, kini abang pula menyusul

 

TEMERLOH – Seorang pemandu maut selepas lori yang dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah lori balak di Kilometer 158, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.59 pagi itu, mangsa, Sanussi Noor, 41, beralamat dari Marang, Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindannya cedera di bahagian kaki.

Bagaimanapun, pemandu lori balak, C Ashvin Kumar, 27, dari Raub tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori balak yang dipandu Ashvin dalam perjalanan dari arah Raub menghala ke Mentakab.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu itu menyedari sebuah lori Hicom-Perkasa tiga tan dari arah bertentangan hilang kawalan dan masuk ke laluannya.

“Difahamkan pemandu lori balak bertindak menekan hon beberapa kali sehingga terpaksa menghimpit lorinya ke bahu jalan bagi mengelak bertembung,” katanya.

Mohd Yusri berkata, bagaimanapun bahagian belakang lorinya telah dilanggar lori berkenaan.

“Akibat kejadian, lori tiga tan tanpa muatan itu terbabas ke tepi tebing berhampiran menyebabkan pemandunya cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk proses bedah siasat manakala kelindan yang cedera dihantar menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang di sini.

Mohd Yusri berkata, kemalangan mengorbankan nyawa pemandu lori itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, adik perempuan mangsa, Azmidar Noor meluahkan rasa sedih dengan pemergian abangnya.

Menurut Azmidar, dia sama sekali tidak menyangka akan kehilangan abang selepas kakaknya meninggal dunia kurang setahun yang lalu.

“Assalamualaikum. Pagi ini dapat berita yang mengejutkan dan menyedihkan. Belum genap lagi kehilangan kakak tersayang, hari ini seorang lagi pergi mengadap Ilahi.

“Semoga Abang Nusi aman di sana dan ditempatkan dalam kalangan insan yang mulia di sisi Allah. Aamin..,” tulisnya di Facebook.

Posting Komentar untuk "Adik luah rasa sebak, tak sampai setahun kakak pergi, kini abang pula menyusul"